
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR,18 Jul (Malaysiaaktif) – Karnival Jualan Agro MADANI Mega dan Santai Agropreneur Muda Peringkat Negeri Perlis yang bermula 12 hingga 14 Julai lalu telah berjaya mencatat jualan sebanyak RM929,132 melibatkan lima kluster jualan iaitu Jualan Agro Madani, Jualan Industri Makanan dan Asas Tani, Jualan Buah-Buahan, Jualan Florikultur dan Jualan Makanan Popular.

Anzara Azizan menyampaikan cenderhati kepada YDH CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia.
Menurut Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis Mohd Anzara Azizan, pencapaian tersebut melebihi 23 peratus daripada sasaran yang ditetapkan iaitu RM750 ribu dan kehadiran pengunjung ke karnival berkenaan dicatatkan seramai seramai 35,000 orang, melepasi sasaran yang ditetapkan seramai 30,000 orang.
“Hasil tinjauan, selain penduduk di negeri Perlis, karnival yang bersebelahan Dataran Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Persiaran Wawasan Kangar itu juga bukan sahaja dihadiri oleh penduduk dari negeri ini malah ada yang datang dari negeri Kedah dan Pulau Pinang,” ujarnya semalam.
Tambah Anzara, Karnival Jualan Agro Madani Mega ini melibatkan penyertaan 88 orang usahawan dengan menawarkan 560 SKU produk keluaran negeri Perlis.

Orang ramai membeli Kombo Madani.
“Selain itu 2,800 set Kombo Madani yang ditawarkan dengan harga RM10 melibatkan ayam, sayur dan bawang turut terjual.
“Melalui karnival ini juga, sebanyak 3,800 kampit Beras Putih Tempatan, 2,000 papan telur ayam dan 10 tan metrik barangan segar seperti ikan, daging, sayur dan buah-buahan berjaya dipasarkan melalui Pusat Operasi FAMA sendiri, Persatuan Nelayan Negeri Perlis dan usahawan Lembaga Pertubuhan Peladang,” jelasnya.
Selain aktiviti jualan hampir 30 aktiviti galakan pengunjung diadakan seperti Kempen Lebihkan Makan Buah-Buhan Tempatan, Forum Perdana dengan tajuk, Keterjaminan Makanan Pemangkin Ekonomi Ummah, Agroyouth Pocket Talk Bicara Usahawan, FAMA Run dan pertandingan-pertandingan untuk setiap lapisan umur serta Pilihan Bertuah “CASHLESS LA BOSS” yang dijalankan pada setiap hari dengan menawarkan hadiah terkumpul bernilai hampir RM15,000 dengan kerjasama PAYNET.
-ZS-