Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Kegemilangan Istiadat Pertabalan Dipaparkan melalui Wayang Pacak

By 20 Julai 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Johnny Joklis (Sabah)

PUTATAN, 20 Jul (Malaysiaktif) – Detik bersejarah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim yang disiarkan secara langsung dari Istana Negara menerusi wayang pacak merupakan simbolisme tradisi dan patriotisme di antara berbagai lapisan masyarakat.

Segmen Wayang Pacak yang dianjurkan di setiap Komuniti MADANI di seluruh Sabah ini berjaya mendedahkan kepada masyarakat setempat gambaran perjalanan kedaulatan negara menerusi istiadat pertabalan yang membentuk identiti negara Malaysia.

Suasana sekitar program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ir. Shahelmey Yahya, berkata konsep wayang pacak membangkitkan semangat kebersamaan masyarakat menjayakan agenda utama dengan memastikan lebih ramai komuniti mengetahui dan mendalami prinsip kedua dalam Rukun Negara itu.

“Biarpun istiadat pertabalan ini disiarkan secara langsung di beberapa saluran televisyen, tayangan secara beramai-ramai seperti wayang pacak ini semestinya telah menaikkan semangat dan memberi pengalaman yang baru kepada mereka yang berada di dewan ini.

“Ini juga mampu memberi kesederan kepada masyarakat setempat terutama Komuniti MADANI di daerah Putatan tentang pelaksanaan antara acara yang bersejarah di negara kita yang diadakan sekali dalam lima tahun dan saya harap ahli komuniti dapat menjalankan tugas bagi berkongsi maklumat tentang kerajaan kepada rakyat setempat,” katanya ketika ditemui dalam program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI di Dewan PPR Taman Serigai, di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang hadir, Juatan Matkan, 65, berkata pertabalan ini adalah istiadat yang julung kalinya diadakan yang perlu dihayati sebaik-baiknya oleh segenap lapisan masyarakat terutama golongan belia.

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi generasi kita dan generasi anak-anak kita, istiadat ini secara tidak langsung telah memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia sudah menabalkan seorang raja yang baharu.

Mohamad Ahmed ditemubual pada program tersebut.

“Sebagai rakyat, kita mendoakan kesihatan dan mengharapkan kepimpinan baginda kelak akan dilaksanakam dengan penuh keadilan serta saksama kepada semua bangsa tanpa wujudnya sifat pilih kasih,” katanya.

Selain itu, Mohamad Ahmed, 37, satu-satunya individu Orang Kelainan Upaya (OKU) yang hadir bagi berkata, sebagai rakyat kecil beliau menanam hasrat untuk bersua dengan Yang di-Pertuan Agong jika baginda mencemar duli melawat Sabah suatu hari nanti.

“Patik berterima kasih kepada Tuanku kerana menjaga rakyat dengan penuh kasih sayang, semoga Tuanku sentiasa panjang umur dan mampu memimpin negara ini ke arah yang lebih cemerlang serta maju.

“Rakyat Sabah sentiasa mengalu-alukan ketibaan Tuanku ke Sabah, negeri di bawah bayu ini, dan patik sebagai rakyat menanam hasrat untuk bertemu dengan Tuanku suatu hari nanti,” ujarnya.

Untuk makluman, aktiviti wayang pacak adalah acara kemuncak untuk Program Komuniti MADANI bagi memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 diadakan secara serentak oleh 222 Komuniti MADANI di seluruh Malaysia.

-ZS-

Tinggalkan komen anda