
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor
PONTIAN 26 Jul (Malaysiaaktif) – Semua ketua kampung dalam daerah Pontian diseru agar menghebahkan inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ kepada masyarakat seperti disarankan oleh kerajaan.

Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran menyeru semua ketua kampung dalam daerah Pontian agar menghebahkan inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ kepada masyarakat di kawasan masing-masing
Pegawai Daerah Pontian Zainal Eran berkata, pemasangan Jalur Gemilang akan menyemarakkan semangat Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
“Semangat patriotik dan rasa bangga menjadi anak Malaysia melalui kibaran Jalur Gemilang perlu terus disemai ke dalam jiwa khususnya bagi golongan belia,” katanya ketika merasmikan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Negeri Johor di Rumah Citra Sri Pinang, di sini, semalam.
Zainal berkata, usaha yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan Malaysia melalui program KMJG 2024 ini adalah tepat bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan warganegara Malaysia.
“Usaha sebegini perlu diteruskan bagi mengingatkan masyarakat negara ini khususnya rakyat negeri Johor tentang betapa pentingnya nilai patriotisme disemat di setiap sanubari rakyat negara ini,” katanya.

Ketua-ketua kampung dalam daerah Pontian yang turut hadir dalam majlis menyambut Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Negeri Johor
Konvoi KMJG 2024 yang bermula pada 24 Julai lalu akan berakhir pada 27 Julai 2024 melibatkan tujuh buah daerah dalam negeri ini.
Turut hadir, Mejar (B) Mohd Hanafi Yunus wakil rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Pengarah Penerangan Negeri Johor Shamsul Hisham Mansor dan Presiden Kelab Suzuki V-Strom Owner Kelab Malaysia, Mohamad Zaidi Yahaya.
-AA-