Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

KKM Komited Tingkat Tahap Fasiliti Kesihatan Rakyat Sabah

By 8 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Tawau)

TAWAU, 8 Jul (Malaysiaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk menangani isu fasiliti dan keperluan sumber manusia dalam bidang kesihatan di Sabah.

Dzulkefly ketika ucapan perasmian Program Jelajah bersama ANMS-SMJ

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak KKM melihat perkara ini secara realiti dan akan menangani isu dibangkitkan secara holistik agar setara dengan keperluan perkhidmatan kesihatan semasa.

“KKM akan cuba memberikan tumpuan dari sudut merapatkan jurang sumber manusia di fasiliti kesihatan khasnya di Sabah dan Sarawak.

“Saya sedar di Sabah ketika ini nisbah doktor adalah satu doktor kepada 900 orang penduduk (1:900) berbanding di peringkat kebangsaan (1:412).

“Justeru, KKM sedang merancang untuk memastikan agihan bilangan pegawai perubatan yang melibatkan semua bahagian supaya lebih menampakkan kesaksamaan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ), di Padang Bandaran Tawau, kelmarin.

Selain itu, masalah klinik kesihatan yang daif di Sabah juga turut menjadi tumpuan KKM untuk diselesaikan pada tahun ini dan melibatkan peruntukan sebanyak RM21.5 juta.

Menurutnya, masalah klinik daif di Sabah perlu diselesaikan secara holistik serta dilakukan dengan lebih teliti dan berintegriti.

“Ketika ini KKM telah menaik taraf sebanyak 58 buah klinik kesihatan daif dan 15 daripadanya sudah siap sepenuhnya, manakala 43 lagi sedang dijalankan.

Sekitar suasana Program Jelajah bersama ANMS-SMJ

“Kita harapkan November tahun ini, semua projek klinik kesihatan daif dapat disiapkan sepenuhnya seperti dalam perancangan,” ujarnya.

Program Jelajah bersama ANMS-SMJ adalah kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah khusus untuk menyampaikan manfaat program-program kesihatan kepada rakyat.

-AA-

Tinggalkan komen anda