
Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran/Mohd Yusuf Md Said
KULAI, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 negeri Johor, yang melibatkan tujuh daerah di negeri ini telah tiba di Balai Raya Kampung Felda Bukit Batu, Kulai di sini semalam.

Penduduk Kampung Felda Bukit Batu menunggu ketibaan peserta konvoi KMJG 2024.
Program tahunan anjuran Jabatan Penerangan bertujuan mempromosikan Bulan Kebangsaan dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu Arthur Chiong Seng Sern, berkata aktiviti konvoi KMJG 2024 membawa mesej yang amat bermakna bagi mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dengan rasa cinta dan bangga mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kita sebagai rakyat Malaysia meghayati erti kemerdekaan.

Acara simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada ADUN Bukit Batu.
“Penduduk di sini juga teruja menyambut ketibaan konvoi ini, menandakan sokongan penuh mereka terhadap usaha kerajaan dalam memupuk semangat kebangsaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pengarah Penerangan Negeri Johor selaku Ketua Konvoi KMJG 2024 Saiful Hisham Mansor, Presiden Kelab Suzuki V-Strom Owner Club Malaysia Mohamad Zaidi Yahya, Pengurus Felda Bukit Batu Mohamad Hafiz Mahmood dan Penghulu Mukim Bukit Batu Mohamad Norzaharuddin Kasimon.
-ZS-