
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Bagi mereka yang malas nak berjalan jauh, Kompleks Kraf Kuala Lumpur sudah tentunya menjadi destinasi pilihan yang amat sesuai untuk semua pada hujung minggu.

Aktiviti batik cetakan kreatif ecoprint
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) telah menganjurkan Karnival Kompleks Kraf pada 27 & 28 Julai di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, di sini.
“Tujuan karnival ini diadakan untuk memperkenalkan Kompleks Kraf sebagai Pusat Kraf Setempat yang menghimpunkan produk kraf tempatan dari seluruh Malaysia serta menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Tema ‘Kompleks Kraf Di Hati’ menunjukkan keunikan kompleks kraf menjadi destinasi menarik dan wajib dilawati dengan pengisian aktiviti kraf dalam kehidupan yang memberi pengalaman baharu mahu pun mengimbau kenangan,” kata Kraftangan Malaysia dalam satu kenyataan semalam.

Aktiviti Jualan Usahawan Kraf
Antara aktiviti yang disediakan adalah jualan kraf, pameran kraf, demonstrasi kraf (batik), Interaktif Kraf (Batik Lukis, Batik Ikat Celup, Batik Cetakan Kreatif, Seramik, Logam Teknik Tekan Timbul, Anyaman Rotan, Sulaman Manik, Seni Tampal Selit), persembahan kesenian dan lawatan berpandu berkumpulan.
Di samping itu, pengunjung juga boleh menyertai Kelas Anyaman Kelarai, bakul kertas dan Projek Upcycle Kraf (Tie & Dye) yang disediakan secara percuma.
Penganjuran Karnival Kompleks Kraf yang seterusnya akan berlangsung pada 24 dan 25 Ogos, 28 dan 29 September serta 26 dan 27 Oktober 2024.
-AA-