
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman (Machang)
MACHANG, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI merupakan lidah dan penghubung antara kerajaan serta rakyat dalam menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan yang sahih lagi tepat kepada akar umbi.
“Setiap Komuniti MADANI memainkan peranan dan perlu bersedia bergerak sebagai satu pasukan yang mendukung semangat patriotisme serta perpaduan termasuk mempromosikan konsep Malaysia MADANI kepada masyarakat.

Antara pengunjung yang hadir.
“Program turun padang oleh Jabatan Penerangan ini bukan sahaja dapat membina keharmonian serta mewujudkan kebersamaan di antara pemimpin dan rakyat, tetapi secara tidak langsung berupaya memupuk nilai-nilai murni berlandaskan tonggak Malaysia MADANI,” kata Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Machang di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, di sini pagi tadi.
Komuniti MADANI yang diwujudkan dan ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan (JaPen) merupakan badan sukarela pelbagai kaum yang menjadi medium perantara antara kerajaan serta komuniti akar umbi.

Penyerahan topi keledar percuma sumbangan JPJ.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Education Sdn. Bhd. Hussain Awang, Komuniti MADANI menjadi lidah dan penghubung antara kerajaan serta rakyat dalam menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan yang sahih lagi tepat kepada akar umbi.
Pelbagai aktiviti diadakan antaranya pameran oleh agensi kerajaan seperti Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan, Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebanyak 50 topi keledar baharu turut diagihkan oleh JPJ kepada pengunjung.
Turut sama Pengarah JaPen Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Komuniti MADANI Parlimen Machang.
-ZS-