
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Hari kedua Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur mencatatkan kehadiran lebih 120 ribu pengunjung yang hadir.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan jumlah pengunjung yang hadir dan merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerajaan.

Perdana Menteri menyampaikan cek cura sumbangan Sejati Madani kepada penerima yang layak.
“Angka tersebut dijangka berganda dengan pengunjung mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membawa keluarga merebut pelbagai tawaran menarik yang disediakan kali ini,” ujarnya sewaktu berucap di Majlis Peluncuran Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur, di sini, semalam.
Program MADANI Rakyat Zon Timur adalah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluas penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon untuk memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksana oleh kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengubah cara kerja lama bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan kelulusan projek baharu bagi memacu pembangunan di semua kawasan.
Beliau turut mengingatkan semua setiausaha kerajaan negeri supaya memantau senarai projek yang diluluskan dan melaksanakan kemas kini status projek secara berkala.
“Saya bincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengingatkan bahawa patut sentiasa pantau senarai projek yang diluluskan, berapa yang dilaksanakan dan apakah sebab kelewatan, apakah sebab pengambilan tanah atau kelulusan lain,” katanya semasa merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan.

Perdana Menteri bergambar bersama barisan kepimpinan negara dan negeri.
Program MADANI Rakyat Zon Timur memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, TVET dan karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan, kesejahteraan luar bandar serta pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Kecerdasan Buatan (AI), selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkaitan.
Program ini turut melibatkan kolaborasi strategik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pihak swasta. Selain itu, Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa serta pameran aset-aset kerajaan turut disediakan untuk pengunjung.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pada sebelah malam pula, artis seperti Aina Abdul, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Siti Nordiana dan Wany Hasrita akan tampil dengan persembahan Konsert Pata Timo di Pentas Utama pada pukul 8.30 malam.
Pelbagai perkhidmatan awam yang ditawarkan secara langsung kepada rakyat juga akan diteruskan hari ini, antaranya Jualan Rahmah, kaunter diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 50 peratus, penukaran topi keledar untuk 1,000 pengunjung terawal, dan tawaran lebih 1,700 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya.
-ZS-