
Laporan/foto: Noor Azian Saad/Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Mendapat dorongan daripada isteri dan keluarga, Khali Abd Alim Ahmad, 79, memulakan perniagaan berasaskan penternakan madu kelulut sejak lapan tahun yang lalu.
Dengan hanya bermodalkan wang simpanan sendiri, Khali Abd Alim pada mulanya berjinak-jinak dalam menternak sekitar 4 hingga 5 sarang kelulut sahaja dan kini telah berjaya membiakkan sebanyak lebih 150 sarang madu kelulut atau dikenali sebagai stingless bee.

Rupa sebenar sarang madu kelulut.
Beliau ketika ditemui kelmarin berkata bahawa di samping menjual madu yang telah dibotolkan, beliau turut menghasilkan kopi madu kelulut yang dipasarkan ke kawasan berhampiran serta dijual secara atas talian dengan bantuan anak-anak beliau.
“Biji kopi tersebut diperolehi daripada Indonesia dan diproses berhampiran rumah saya yang bertempat di Kampung Kepala Bukit, Mukim Tobiar, Pendang.
“Madu kelulut yang tiada campuran bahan-bahan lain ini, diketahui mempunyai rahsia dalam bidang pengubatan dan kecantikan kerana sifatnya yang anti radang, anti kulat dan anti mikrob,” jelasnya.

Produk yang dihasilkan daripada madu kelulut.
Tambah beliau lagi, madu kelulut yang dihasilkan oleh lebah jenis Trigona Laeviceps dan Trigona Apicalis ini tidak mempunyai sengatan dan mempunyai rasa masam manis buah.
“Madu kelulut dikategorikan sebagai salah satu madu yang berharga mahal kerana kuantiti yang terhasil biasanya tidak banyak.”
“Setiap madunya sangat berkualiti kerana lebah kelulut mengambil serta memproses madu dari bahan semulajadi yang berkualiti sahaja menyebabkan madu yang terhasil adalah lebih baik dan berkualiti berbanding dengan madu lebah,” ujarnya.
-ZS-