Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Malaysia Juara Keseluruhan Catur di Taiwan

By 23 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azza Abdul Aziz/JAPEN

PUTRAJAYA, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Catur Jemputan Antarabangsa Naga Asia yang telah berlangsung di National Taiwan University.

Dua pemain catur negara, Haziq Nasruddin dan Iwan Schani Ibnu berjaya muncul juara dalam kategori masing-masing iaitu bawah 16 tahun dan terbuka.

Iwan Schani Ibnu (kiri) dan Haziq Nasrudin (kanan) bersama trofi yang dimenangi

Muhammad Haziq Muhammad Nasruddin telah berjaya menumpaskan pemain tuan rumah, Pu Yu dengan mengutip mata keseluruhan tertinggi sebanyak 8.5 mata untuk menjuarai kategori bawah 16 tahun.

Bagi kategori terbuka pula, Iwan Schani Ibnu dicabar hebat oleh wakil Amerika Syarikat, Jerry Chang sebelum bergelar juara dalam kejohanan anjuran Persatuan Catur Chinese Taipei (CTCA) itu.

Menurut Ketua Delegasi Pasukan Catur Malaysia, Noor Hafiz Mohd Nor, prestasi cemerlang skuad negara turut disumbang pengenalan sulung sukan catur di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 pada Ogos depan.

Jelasnya, program-program Pemerkasaan Komuniti Catur Digital juga ternyata memberi impak positif kepada pembangunan bakat-bakat baharu.

Kata Hafiz, kemenangan itu juga penting sebagai persiapan pasukan negara ke Kejuaraan Chess Amatur Dunia FIDE di Greece pada Oktober depan.

“Saya juga berterima kasih atas sokongan pelbagai pihak yang telah banyak membantu persiapan bagi kejohanan ini khususnya Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Pertubuhan Pemerkasaan Komuniti Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan,” katanya.

Kejohanan tahunan anjuran Persatuan Catur Chinese Taipei (CTCA) disertai 34 peserta dari Macau, Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, Amerika Syarikat dan tuan rumah, Taiwan.

-AA-

Tinggalkan komen anda