
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/Nor Syafiq Afandi
KUALA KANGSAR, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Sumbangan sebanyak RM5,000 diserahkan kepada setiap masjid di Parlimen Padang Rengas dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah di Arena Square Masjid Al-Hadhari, Padang Rengas di sini, malam tadi.

Haji Nor Hashim bersama cek cura sumbangan yang diterima.
Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim, dana tersebut merupakan sumbangan khas oleh Perdana Menteri kepada 28 buah masjid di Parlimen ini.
“Semoga kesemua masjid ini dapat menggunakan dana yang diperuntukkan untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan dalam kariah masjid tersebut seterusnya menjadikan komuniti Padang Rengas lebih aktif dalam segala jenis kegiatan,” katanya ketika berucap.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Rahmaniah Pekan Sauk Haji Nor Hashim Sagap, 64, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan dana kepada pentadbiran masjid di Padang Rengas.
“Pastinya kami berbesar hati kerana sumbangan ini dapat digunakan untuk pelaksanaan program di peringkat komuniti setempat.

Persembahan daripada kumpulan Raihan.
“Selain itu, masjid juga menjadi tempat aduan orang ramai untuk mendapatkan bantuan, maka dana yang diterima ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Tambahnya, program seumpana ni perlu diteruskan dan diberi perhatian khususnya untuk kepimpinan di peringkat bawah agar bantuan dapat disalurkan hingga ke akar umbi.
Turut berlangsung, penyerahan sumbangan komputer riba dan mesin cetak kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parlimen Padang Rengas.
Terdahulu, program dimeriahkan dengan pesta durian, Forum Penghijrahan, selawat serta persembahan nasyid daripada Kumpulan Raihan dan Inteam.
-ZS-