
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor
KLANG, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menggerakkan operasi bersepadu di Pulau Ketam, di sini untuk memastikan urus niaga di kawasan berkenaan di bawah pematuhan perundangan.
Operasi di bawah Ops Tiris 3.0 tersebut dilaksanakan Bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan De Metrology Sdn Bhd melibatkan 20 anggota penguat kuasa diketuai Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN Putrajaya Shamzul Nizam Khalil.

Ops Tiris 3.0 di Pulau Ketam menggunakan pendekatan ‘advoinspect’ iaitu anggota penguat kuasa mengeluarkan amaran untuk kali pertama kesalahan kepada peniaga yang gagal dari aspek pematuhan dan seterusnya peniaga akan diberikan advokasi secara ‘real time’.
Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata operasi mensasarkan premis perniagaan termasuk kawasan sangkar ikan dan bot-bot nelayan yang terlibat dengan barang kawalan bahan api.
“Operasi menfokuskan pematuhan penandaan harga, pemilikan dokumen sah, penggunaan alat timbang sukat, harga maksimum runcit seperti minyak masak, gula, tepung gandum, petrol, diesel dan gas cecair petroleum (LPG).
“Pemeriksaan fizikal turut diberi perhatian sangkar ikan dan bot-bot nelayan bagi memastikan etika kawalan keselamatan penggunaan bahan api diesel diurus dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pulau Ketam ini dipercayai diasaskan sekitar tahun 1880 terkenal dengan petempatan rumah terapung berketinggian satu hingga 10 meter dari paras laut merupakan antara kawasan tarikan pelancongan serta aktif dengan aktiviti perniagaan restoran makanan laut dan peruncitan barangan keperluan harian pengguna.
Menurutnya, pemeriksaan menggunakan pendekatan ‘advoinspect’ iaitu anggota penguat kuasa mengeluarkan amaran untuk kali pertama kesalahan kepada peniaga yang gagal dari aspek pematuhan dan seterusnya peniaga akan diberikan advokasi secara ‘real time’ (masa nyata).
“Pemantauan di sekitar perairan kepulauan turut dijalankan oleh pasukan operasi bersepadu untuk meninjau situasi sekitar kepulauan dan pergerakan bot-bot nelayan.
“Operasi ini dijalankan secara terkawal iaitu dengan kawalan keselamatan oleh bot-bot pengiring daripada APMM,” jelasnya.
-ZS-