
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/ Anuar Che Amat

Pengunjung yang ke #BKK turut membeli di Pasar Terapung, JPS.
KANGAR, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Pasar Terapung JPS Perlis pertama kali beroperasi sehingga waktu malam sempena Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2024 #BKK2024 dan Hari Koperasi Peringkat Negeri Perlis 2024 #HKNPs2024.
Pasar terapung yang terletak di Denai Larian, Pengkalan Asam yang kebiasaanya beroperasi dari pukul 9.00 pagi sehingga 7.00 malam dipanjangkan waktu operasinya bagi para pengunjung singgah menikmati suasana malam di bandar Kangar.
Pengunjung yang datang ke #BKK2024 boleh singgah ke pasar terapung atau ‘floating market’ boleh membeli juadah makanan di tapak kelolaan Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis itu sambil menikmati suasana ‘bercahaya’ malam yang hening, nyaman dan santai di hujung minggu bersama keluarga.

Para pengunjung ambil kesempatan ke pasar terapung yang julung kali beroperasi sehingga malam.
Antara produk jualan yang dijual adalah makanan tradisional dan ala-ala Thai yang digemari masyarakat.
Menurut peniaga di situ Wan Zamarizal Zainol, 47, jualan di gerainya turut dihadiri oleh pelbagai pengunjung yang hadir ke #BKK2024.
“Cuti sempena Sambutan Maal Hijrah 1446 ini diharapkan ramai pengunjung dapat singgah ke gerai jualan kami yang dilanjutkan sehingga malam khas sempena #BKK2024 untuk pelancong yang datang ke negeri Perlis,” ujar seorang lagi peniaga Mohd Hafiz Arif, 40.
-ZS-