Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Pelajar Orang Asli Terima Anugerah Khas Maal Hijrah Negeri Perak

By 9 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suriani Ghazali (Batang Padang)/Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan

IPOH, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Kejayaan cemerlang memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM menjadikan pelajar Orang Asli daripada kaum Semai, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan, 18, terpilih sebagai penerima Anugerah Khas sempena Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Perak.

Sultan Nazrin berkenan mengurniakan anugerah kepada penerima. (Foto: Mohammad Ezwandi).

Menurut Fifi Nurfatin, dia bersyukur dan gembira dengan anugerah yang diterimanya.

“Impian saya pada masa depan, saya ingin berbakti kepada masyarakat khususnya kaum Orang Asli untuk mendorong dan menjadi inspirasi kepada mereka agar terus berjaya.

“Jangan jadikan kesukaran hidup sebagai alasan untuk tidak memajukan diri,” kongsinya ketika ditemui.

Anak sulung daripada empat beradik ini bercita-cita untuk menjadi seorang guru dan tidak pernah menjadikan kesusahan hidup sebagai penghalang untuk berjaya.

Fifi Nurfatin bersama ibu dan bapanya.

Sementara itu, bapanya Marjaidi Hirwan Sinak, 40, berkata kecemerlangan anaknya itu telah mula dilihat sejak kecil apabila berjaya memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR.

“Kami sebagai ibu bapa sentiasa memberi galakan dan sokongan terhadap setiap aktiviti yang diminatinya,” katanya yang bekerja sebagai tukang kebun.

Fifi Nurfatin adalah antara lapan penerima anugerah yang disampaikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Casuarina@Meru, Meru Raya di sini, kelmarin.

Penganugerahan itu melayakkan Fifi Nurfatin membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM5,000, komputer riba, plak serta sijil.

-ZS-

Tinggalkan komen anda