
Laporan/foto : Anuar Che Amat
KANGAR, 12 Jul (Malaysiaaktif) – 34 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 dirai di Majlis Anugerah Kecemerlangan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) di sebuah hotel, di sini semalam.
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah agar para pelajar melengkapkan diri dengan memantapkan kemahiran insaniah dan berasaskan pengetahuan teknikal yang diperlukan dalam setiap bidang yang dipilih supaya mampu bersaing dalam bidang kerjaya kelak.

Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan anugerah kecemerlangan Yayasan Tuanku Syed Putra kepada salah seorang pelajar cemerlang SPM tahun 2023.
“Para pelajar perlu menguasai kemahiran fleksibiliti dan kebolehsuaian dalam persekitaran yang dinamik pada hari ini.
“Perubahan dalam dunia pekerjaan masa kini memerlukan seseorang untuk memiliki kesediaan sebelum meneroka dan menceburi pasaran kerja,” titah baginda.
Pada majlis tersebut seramai empat orang pelajar telah menerima Anugerah Cemerlang, dua orang pelajar menerima Anugerah Kepujian dan 28 orang pelajar lagi telah menerima Anugerah Khas.
Baginda turut, bertitah pentingnya kemahiran fleksibiliti dan kebolehsuaian iaitu melibatkan sikap terbuka dengan idea baharu, menerima perubahan dan bijak menyesuaikan diri dengan peranan atau bidang kerjaya yang berbeza.

Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen turut berkenan menyampaikan anugerah kecemerlanganYayasan Yayasan Tuanku Syed Putra kepada pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2023.
Keputusan SPM 2023 Negeri Perlis telah menunjukkan peningkatan peratus layak sijil sebanyak 95.05 peratus dan Gred Purata Negeri (GPN) 4.74 berbanding 93.33 peratus dan 4.82 pada tahun 2022.
Pemangku Raja Perlis turut mengharapkan semoga pencapaian ini menjadi momentum dan pembakar semangat dalam merealisasikan impian para pelajar bagi meneruskan pengajian di pusat pengajian tinggi di dalam atau luar negara selepas ini.
Baginda juga menyeru, pihak sekolah melaksanakan pembelajaran terarah kendiri iaitu menguasai kemahiran literasi digital, kemahiran penyelidikan perpustakaan, mencari maklumat yang sahih dan memperkenalkan pelajar hasil pembelajaran.
“Para pelajar turut diingatkan bersedia untuk melangkah ke alam kerjaya dengan perkukuh kemahiran produktiviti dan akauntabiliti yang melibatkan pengurusan masa dan sumber dengan berkesan, penyampaian kerja berkualiti tinggi dan bertanggungjawab kepada diri sendiri serta organisasi,” titah baginda.
Seramai 50 orang calon berjaya memperoleh keputusan gred A dalam semua mata pelajaran di negeri ini.
Turut berangkat hadir di majlis tersebut Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
-ZS-