
Laporan/foto: Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Demonstrasi Pembuatan Kepala Singa oleh Adiguru Siow Ho Phiew atau dikenali sebagai Master Siow merupakan antara tarikan pada Festival Tarian Singa 2024 yang berlangsung bermula dari 26 hingga 28 Julai lalu di Tebingan Kuching.
Master Siow, 70, yang mula berkecimpung dengan pembuatan kepala singa sejak tahun 1986, berkata beliau mula aktif dalam bidang tarian singa pada tahun 70-an dan mula membuat kepala singa tetapi bukan untuk tujuan komersial.

Sesi demonstrasi pembuatan kepala singa oleh Master Siow.
Selepas menerima anugerah Adiguru Kraf Negeri Selangor pada 2012, nama Master Siow semakin tersohor sebagai penghasil kraf berkenaan.
“Ada orang tanya saya, saya belajar di mana? Tetapi saya tidak pernah belajar daripada sesiapa, melainkan mengkaji dan buat sendiri berpandukan kepala patung singa dari negara China.
“Dari semasa ke semasa, saya menambah baik mutu pembuatannya, sehingga saya berpuas hati,” kata Master Siow selepas sesi demonstrasi pembuatan kepala singa di reruai pameran festival tersebut, di sini kelmarin.
Tambahnya, bukan senang untuk membuat kepala singa kerana memerlukan kesabaran yang tinggi selain fokus untuk mendapatkan kualiti halus kerana pembuatannya membabitkan banyak peringkat.

Boneka tarian singa mini yang dihasilkan oleh anak murid beliau.
“Pada permulaan, saya ambil masa dua minggu untuk siapkan satu model kepala singa sahaja, tetapi kini saya dapat siapkan keseluruhan boneka kepala singa ini dalam masa lapan hari,” katanya.
Master Siow turut memberi latihan kepada golongan muda-mudi yang berminat atau mereka yang mahu menjadikan pembuatan kepala singa sebagai hobi selain melatih kumpulan peminat-peminat seni tarian singa untuk terus bergiat dalam bidang seni itu.
“Harapan saya ialah bidang tarian singa dan naga ini dapat diiktiraf sebagai Seni Persembahan dalam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dan terus diperkenalkan bukan saja dalam Malaysia malah bertaraf dunia,” katanya.
-ZS-