
Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini/ Rosli Md Zin (Bachok)
BACHOK, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nipah telah menghimpunkan seramai 200 orang pelajar dari kalangan ahli Kelab Malaysiaku sempena Program JIWA MADANI@Kelab Malaysiaku bagi menghayati erti kemerdekaan negara dan memahami pemerintahan sistem beraja Malaysia.

Taklimat Sistem Beraja Malaysia serta Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024
Pengetua SMK Sri Nipah, Hajah Madiah Hassan ketika ditemui berkata, sistem beraja Malaysia merupakan pemangkin keutuhan negara dan keharmonian rakyat yang mana selain subjek Bahasa Melayu, Sejarah adalah subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Jika dahulu setiap pelajar perlu lulus subjek Bahasa Melayu bagi melayakkan diri untuk mendapat sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kini mata pelajaran Sejarah juga turut menjadi subjek wajib lulus.
“Sebagaimana kurikulum subjek Sejarah mencakupi skop pembelajaran seperti sejarah dan perjuangan pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya.

Penyerahan Jalur Gemilang kepada Pengetua SMK Sri Nipah
Tambahnya, nyanyian lagu Negaraku dan Lafaz Ikrar Rukun Negara adalah peringatan kepada para pelajar bahawasanya kita adalah rakyat Malaysia serta penting bagi setiap pelajar untuk menjaga tatasusila dengan menghargai negara dan sistem beraja agar tidak terjebak dengan budaya dan aktiviti tidak bermoral.
Turut diadakan kempen Kibar Jalur Gemilang, taklimat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 serta kuiz spontan JIWA MADANI@Kelab Malaysiaku kepada para pelajar.
-AA-