Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan pemberian imbuhan kemenangan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah memenangi pingat emas dan merangkul gelaran juara berganda dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Tahun 2024 pada Mei lepas.
“Sekalung tahniah dan penghargaan tertinggi buat seluruh anggota pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara serta melonjakkan imej serta standard sukan sepak takraw kebangsaan di persada dunia,” katanya semasa mengadakan pertemuan bersama pasukan sepak takraw kebangsaan di Pejabat Perdana Menteri, di sini semalam.
Dalam pertemuan tersebut Anwar turut membincangkan keperluan mewujudkan stadium sepak takraw negara, status sukan sepak takraw sebagai sukan bukan teras, peluang melanjutkan pelajaran serta kerjaya dan kebajikan atlet sepak takraw.
Pada 22 Mei lepas, skuad sepak takraw kebangsaan telah mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas memenangi pertandingan akhir acara regu dan double masing-masing dengan keputusan 2-0.
-RI