
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Negeri Perlis bakal menerima sebuah Kompleks Perpaduan yang kini sedang dibina di atas tanah seluas 7.06 ekar di Mukim Seriab, Kangar.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, berkata Kompleks Perpaduan Perlis telah diluluskan oleh kerajaan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 pada tahun 2021 dan pembinaannya telah bermula pada 6 Februari lalu serta dijangka siap pada 15 Disember 2025.
Katanya, kompleks tersebut bakal menempatkan ruang Jentera Perpaduan secara bersepadu dan akan menjadi contoh bagi kompleks perpaduan yang akan dirancang pembinaan di seluruh negara kelak.
“Kompleks yang bernilai RM16.8 juta ini bakal menempatkan Pejabat Perpaduan Perlis, Dewan Serbaguna, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Perpaduan, Bilik Operasi Pusat Rukun Tetangga, Bilik Operasi Mediator Komuniti dan lain-lain kemudahan awam.
“Negeri Perlis boleh diangkat menjadi Hab Perpaduan untuk Zon Utara di mana lebih banyak program perpaduan dapat dilaksanakan yang turut memberi faedah kepada komuniti setempat,” katanya di Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Negeri Perlis, di sini semalam.
Menurutnya lagi, pelbagai aktviti di bawah Kembara Perpaduan yang berpotensi dapat dilaksanakan seperti Program Komuniti Rahmah, karnival ekonomi komuniti, KRT Progresif, Sukan UNITI dan sambutan perayaan.
-ZS-