
Laporan/foto: Anis Hayati Tom/Dullilah Siran (Sabah)
KENINGAU, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Institusi dan komuniti setempat perlu mewujudkan ekosistem sosial yang kondusif bagi membudayakan amalan penyusuan susu ibu dalam kalangan masyarakat seluruh negara.
Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau Dr. Valentine @ Japulee Gantul, berkata sokongan terhadap amalan sihat ini perlu ditingkatkan dengan memberi tumpuan khusus kepada penyusuan susu ibu semasa kecemasan dan krisis.

Dr Valentine (kiri) dan Matusin melawat Pameran Kesihatan.
Jelasnya, budaya penyusuan ibu ini dapat diterapkan menerusi pelbagai inisiatif antaranya program kesedaran dan penglibatan daripada pelbagai pihak terutama ahli keluarga.
“Sokongan ini penting bagi mengurangkan ketidaksamaan yang wujud dalam masyarakat. Sokongan daripada pasangan, keluarga, majikan, rakan sekerja dan komuniti juga akan memberi impak yang lebih besar dalam membudayakan amalan penyusuan susu ibu di Malaysia.
“Semua aktiviti yang dijalankan ini mempunyai sasaran yang tersendiri khususnya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan serta kebaikan penyusuan susu ibu terhadap kesihatan bayi dan kesejahteraan keluarga,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2024 peringkat Kawasan Keningau di Dewan Serbaguna Kampung Mansiat di sini pada Sabtu.

Sekitar suasana program tersebut.
Wakil Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Matusin Bowie@Matius Minggu, berharap sambutan berkenaan akan meningkatkan kesedaran pelbagai pihak untuk meneroka strategi meningkatkan sokongan terhadap penyusuan susu ibu.
“Sokongan ini perlu hadir pada setiap peringkat masyarakat daripada keluarga dan komuniti sehinggalah ke tempat kerja dan juga menerusi sistem penjagaan kesihatan.
“Ada masyarakat yang terjejas secara langsung oleh jurang yang wujud dalam sokongan terhadap penyusuan susu ibu,” katanya.
Menurutnya, amalan penyusuan susu ibu bukan sahaja tanggungjawab kaum wanita, malah memerlukan perhatian kaum lelaki atau suami serta ahli keluarga dalam memastikan amalan ini dapat diperkukuhkan.
“Majikan di sektor kerajaan dan swasta juga perlu menyediakan persekitaran yang kondusif kepada ibu-ibu, termasuk menyediakan pusat jagaan bayi dan kanak-kanak, bilik atau sudut penyusuan serta melaksanakan waktu kerja anjal,” katanya semasa membacakan teks ucapan Datuk Arthur Joseph Kurup.
-ZS-