
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)/Hafizzuddin Azhar (ZTNS)
TAIPING, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Pertandingan Nasi Ulam 2024 di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) di sini, semalam bukan sahaja berjaya memartabatkan makanan warisan Melayu malah memperkukuh ikatan silaturahim dalam kalangan peserta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong Teh Kok Lim turut hadir menyantuni para peserta muda dalam petandingan ini.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Wanita Ikhlas Taiping Perak (PWITP) Toh Puan Datin Seri Norisha Abdul Rahman, nasi ulam merupakan makanan warisan tradisional yang menjadi fokus utama dalam pertandingan ini.
“Acara ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 35 kumpulan terdiri daripada dua peserta setiap kumpulan.
“Para peserta bukan saja datang dari Taiping dan sekitar Perak, malah dari negeri-negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, peserta dikehendaki menggunakan sekurang-kurangnya 12 jenis daun yang dipamerkan di meja masing-masing sebelum pertandingan bermula.

Pertandingan ini disertai oleh peserta pelbagai kaum.
“Daun-daun tersebut perlu dihiris di tempat pertandingan, manakala nasi pula dimasak dari rumah. Hidangan sampingan seperti pajeri nenas, pajeri terung, dan acar dibenarkan untuk menambah kelazatan nasi ulam yang disediakan.”
“ZTNS menjadi latar yang sempurna untuk acara ini, memperlihatkan keindahan budaya dan tradisi dalam suasana semula jadi yang mempesonakan,” ujarnya.
Johan pertandingan menyaksikan peserta Shaharom Che dan Aida Nurwani Yusof dari Sungai Petani, Kedah membawa pulang hadiah wang tunai RM800 dan sijil penyertaan.
-ZS-