
Laporan/foto: Hafizah Rahim (Marang)/Jabatan Penerangan
MARANG, 11 Jul (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja baik pulih kuarters kediaman yang rosak pada bumbung, lantai dan tingkap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Anwar diiringi Saifudin ketika mendengar taklimat ringkas Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ts Mohd Razman Setapa mengenai keadaan kuarters yang rosak di IPD Marang.
“Kita dapati 20 daripada 166 kuarters yang menempatkan pegawai dan ahli keluarga di IPD Marang tidak dapat digunakan akibat kerosakan.
“Jadi kita ambil tindakan segera dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta dalam masa terdekat ini agar kerja-kerja baik pulih dapat dibuat dengan kadar segera dan 20 kuarters tersebut dapat dihuni,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Kapas, IPD Marang, di sini kelmarin.

Anwar ketika sesi ramah mesra bersama warga polis.
Tambah Perdana Menteri, peruntukan ini sekali gus menunjukkan komitmen Kerajaan Madani dalam menjaga kebajikan dan mengangkat martabat anggota keselamatan.
Terdahulu, beliau diiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meninjau keadaan kuarters yang mengalami kerosakan di IPD Marang.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husin, Setiausaha Kerajaan Terengganu Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Timbalan Ketua Setiausaha KDN Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
-ZS-