
Laporan/foto: Radiah Rahim/Izzat Ab. Rahman (Pahang)
KUANTAN, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Kehadiran dua ekor gajah yang didatangkan khas dari Pusat Gajah Konservasi Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh, Pahang menarik perhatian pengunjung ke Program Madani Rakyat 2024, Zon Timur yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 5 hingga hari ini bertempat di Dataran Sayangi Kuantan, di sini.
Beberapa pengunjung yang ditemui amat teruja dengan kehadiran gajah ini yang mana keletah dua ekor gajah ini mesra dan boleh dipegang membuatkan ramai yang teruja melihatnya.
Ini diakui oleh seorang penjunjung Sri Wahyuni Sarin, 39, dari Inderapura yang datang bersama ibu dan anak-anaknya yang pada awalnya hanya ingin menukar topi keledar, namun sudah habis dan dia bersama keluarga berjalan ke pameran dan tidak menyangka ada gajah di sini.
“Ia menarik perhatian anak-anak saya untuk melihat gajah dan menunggu hingga Perdana Menteri sampai,” ujarnya.
Sivagami Ganesin, 38, dari Tanah Putih pula, berkata program ini amat bagus dan berkesan untuk memberi kemudahan kepada rakyat di samping terdapat Program Jualan Rahmah Madani yang mana barang-barang dijual agak murah dan banyak reruai yang menarik dengan pelbagai jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan sebagainya.
“Anak- anak juga teruja melihat gajah dan pelbagai jenis binatang di zoo mini yang turut ada di sini,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Akmal Hazim Mazlin, 24, dari Kemaman, Terengganu tujuan beliau datang untuk menyemak saman di kaunter Polis Diraja Malaysia kerana diskaun yang ditawarkan amat berpatutan iaitu sehingga 50 peratus.
Terdapat pelbagai acara dan program menarik sepanjang program berlangsung antaranya karnival kerjaya, pameran agensi kerajaan dan swasta, perkampungan Orang Asli, persembahan kebudayaan, bistro, Road to MAHA dan banyak lagi.
-ZS-