
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengumumkan sebuah Pusat Komuniti Desa (PKD) bakal diwujudkan di kawasan Gombak dalam masa terdekat.

Datuk Megat Zulkarnain berucap ketika merasmikan Program Mini PKD Mobile Negeri Selangor di KLMO
Katanya, ketika ini terdapat sebanyak 191 buah PKD telah diwujudkan di seluruh negara.
“Ia menunjukkan kepentingan PKD sebagai tempat rujukan rakyat di bandar dan desa agar kehadiran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat dirasai masyarakat selain memastikan program KKDW terutama bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dapat dihebahkan kepada golongan muda,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Mini PKD Mobile Negeri Selangor di Komplek Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), di sini hari ini.

Antara tetamu dan pengunjung yang hadir di Program Mini PKD Mobile Negeri Selangor
Sebanyak 11 agensi terlibat seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan CelcomDigi.
Turut hadir Pengarah KKDW Selangor/Kuala Lumpur, Noraishah Mohd Nordin dan Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW, Mohamad Nazrul Zakwan Mohd Sobri.
Antara fungsi PKD adalah sebagai pusat latihan komuniti, pusat aktiviti wanita serta pusat pengumpulan produk industri kecil dan sederhana (IKS).
-AA-