Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PM Ajak Lapisan Rakyat Kibar Jalur Gemilang

By 21 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Jabatan Penerangan

CYBERJAYA, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat tunjukkan rasa cinta dan sayang kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang dilancarkan hari ini.

Katanya, rakyat perlu menghargai pengorbanan orang terdahulu dalam membebas dan memerdekakan negara ini.

Perdana Menteri ketika memyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

“Orang dulu korbankan segala-galanya, ibu-ibu di kampung serahkan rantai dan perhiasan mereka untuk tabung perjuangan.

“Apa sukarnya bagi kita kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda taat setia kepada negara Malaysia ini,” katanya.

Anwar berkata, semua lapisan rakyat perlu tunjukkan penyatuan menerusi kibaran Jalur Gemilang.

“Mulai hari ini Komuniti MADANI, jabatan, rakyat, kedai, warung, orang kaya atau miskin, di kota atau desa pastikan tunjuk bersama jiwa merdeka, hebatkan Malaysia.

“Ini bukan isu kaum, parti, kedudukan atau pekerjaan tetapi ia soal jati diri, maruah dan harga diri,” tegasnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di sini hari ini.

Anwar menyempurnakan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang akan menjelajah ke seluruh negara untuk mengelorakan sambutan bulan kebangsaan tahun ini.

Majlis yang berkonsepkan karnival rakyat dengan kehadiran lebih 8,000 orang pengunjung ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.

Program dimeriahkan menerusi penganjuran Karnival Kita MADANI X HKHM 2024 dengan pengisian reruai Komuniti MADANI X NADI, RIUH X HKHM, perkhidmatan untuk rakyat, pameran daripada pelbagai agensi, jualan keusahawanan, persembahan patriotik, aktiviti interaktif kenegaraan serta demonstrasi pembuatan produk tempatan.

Turut diadakan, program Pemukiman Komuniti MADANI disertai hampir 2,500 orang peserta terdiri daripada ketua dan ahli Komuniti MADANI seluruh Semenanjung Malaysia bagi memperkasakan komuniti berkaitan inisiatif kerajaan serta penglibatan komuniti dalam menyemarakkan bulan kebangsaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda