
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/PUO
IPOH, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Pertandingan Kemahiran Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCCSKILLS) 2024 berjaya melahirkan pelajar terbaik dalam pelbagai aspek kemahiran melalui 39 bidang kemahiran vokasional dan teknikal yang dipertandingkan.

Salah satu Bidang Geomatik PUO memperoleh pingat emas.
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Mohd Noor Shahudin, berkata program ini bukan sahaja menjadi platform untuk menguji dan mempertingkat kemahiran teknikal pelajar, malah menyediakan ruang untuk mengembangkan daya saing, kreativiti dan inovasi.
“Anugerah Tangan Emas, Minda Emas, dan Jari Emas menjadi tonggak pertandingan POLYCCSKILLS untuk mengiktiraf dan mendorong kecemerlangan dalam pelbagai aspek kemahiran pelajar.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja memberi motivasi kepada peserta untuk mencapai standard tertinggi, tetapi juga menginspirasikan semua pelajar untuk terus berusaha dan memperbaiki diri dalam bidang masing-masing, menjadikan pertandingan ini lebih bermakna dan berprestij,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan program di Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini semalam.

Dr. Shamsuri (kiri sekali) dan Mohd Noor (kanan sekali) bersama pemenang anugerah.
Sementara itu, Pengarah PUO Dr. Shamsuri Abdullah, berkata pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah acara yang berprestij ini, yang mengumpulkan individu-individu berbakat dari seluruh negara untuk mempersembahkan kemahiran dan kreativiti mereka.
“Di PUO, kami berbangga dapat memupuk persekitaran kecemerlangan bakat inovasi dan menjalin persahabatan. PUO bukan sekadar tempat pembelajaran tetapi sebuah komuniti yang menyokong dan mengiktiraf setiap ahlinya,” katanya.
Untuk rekod, Pertandingan POLYCCSKILLS 2024 yang berlangsung dari 1 hingga 4 Julai merupakan salah satu inisiatif JPPKK dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia Madani untuk mentransformasikan negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Pelajar yang memenangi pertandingan ini berpeluang untuk bertanding ke peringkat lebih tinggi seperti World Skills Malaysia Belia (WSMB) dan World Skills Competition (WSC) pada masa akan datang sekali gus mengangkat Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai pemangkin pembangunan Kemahiran TVET yang unggul di Malaysia.
-ZS-