
Laporan/foto:Noor Farihah Mohamed Rahim (Jeli)
JELI, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 20 Julai lalu melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi negara Malaysia.
Komuniti di Parlimen Jeli dan masyarakat setempat yang mengikuti siaran langsung istiadat pertabalan menerusi salah satu lokasi bagi viewing party di daerah ini teruja menyaksikan istiadat yang ditayangkan pada skrin besar di Dataran Ilmu Bandar Jeli.
Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) Haji Jasri Kasim, berkata majlis ini menggambarkan semangat perpaduan dan kebanggaan rakyat terhadap simbol kedaulatan negara.
“Ia menunjukkan betapa rakyat Malaysia menghargai dan menghormati Institusi Diraja sebagai lambang kestabilan dan perpaduan negara,” katanya.
Seorang penjawat awam yang turut hadir dalam acara ini Samsiah Abdullah, 55, berkata ianya merupakan satu peringatan kepada semua tentang pentingnya kesetiaan kepada raja dan negara dalam memupuk perpaduan dan keharmonian negara.
“Istiadat pertabalan ini mempamerkan keunikan dan keutuhan warisan sistem beraja dan memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai peristiwa bersejarah di samping meningkatkan pengetahuan berkaitan konsep Institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.