Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Produk Pelancongan Baharu di Sabah akan Diperbanyakkan

By 19 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 1 Jul (Malaysiaktif) – Kerajaan negeri kini merangka pelbagai projek pelancongan dalam pelbagai aspek sebagai usaha mencipta lebih banyak lagi produk pelancongan baharu di Sabah.

Hajiji (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian sempena Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata antara langkah strategik yang dilaksanakan dengan mengetengahkan elemen kebudayaan dan menaiktaraf fasiliti pelancongan di lokasi-lokasi tumpuan.

“Seperti di Tawau, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek pelancongan seperti yang dicadangkan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri untuk membangunkan lagi sektor pelancongan di daerah ini.

“Antaranya, membina sebuah resort baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan menempatkan Pusat Penyelidikan Tenggiling.

“Selain itu, kita juga akan menaik taraf kemudahan seperti Jeti Tawau yang membawa pelancong dari Tawau ke Semporna,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC) di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di sini pada Sabtu.

Tambah Hajiji, pembinaan TICC juga merupakan mercu tanda baharu di Tawau yang akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.

“Oleh itu, pembinaan TICC itu tepat pada masanya dan sudah pasti apabila siap kelak, ia akan menjadi tempat penganjuran pelbagai acara kebudayaan termasuk Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT). Sudah pasti dengan adanya tarikan-tarikan pelancongan baharu ini, ia akan membantu kita mencapai sasaran tiga juta pelancong ke Sabah pada tahun ini.

1. Hajiji ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC).

“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, seramai 1.004 juta pelancong datang ke Sabah setakat bulan Januari hingga April tahun ini dengan membabitkan 396,584 pelancong antarabangsa dan 607,371 pelancong domestik. Keadaan ini amat memberangsangkan kerana dalam tempoh Januari-April ini, anggaran resit pelancongan adalah sebanyak RM2.23 bilion.

“Pembinaan pusat ini antara persiapan Tawau sebagai bandar paling dekat dengan ibu kota negara Indonesia yang akan berpindah ke Nusantara, yang pastinya akan merancakkan lagi perdagangan dan pelancongan di daerah ini,” katanya.

Tawau yang juga pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran yang popular di Semporna, telah merekodkan seramai 25,684 pelawat dari dalam dan luar negara dalam tempoh Januari hingga April lalu.

Sehingga kini, terdapat 115 kekerapan penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Untuk rekod, sehingga 15 Jun tahun ini, terdapat sejumlah 32 penerbangan sewa khas direkodkan dari Nanjing dan Guangzhou, China ke Tawau, Sabah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda