Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

RFP2024 Sasar Lebih Sejuta Pengunjung

By 19 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/PPj (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya atau lebih dikenali sebagai Royal Floria Putrajaya (RFP2024) pada bulan Ogos ini selama 11 hari dijangka menarik lebih sejuta pengunjung.

Zaliha di lokasi Pra Pelancaran RFP2024 di Monumen Alaf Baharu.

Penganjuran RFP kali ke-13 di Persisiran Tasik Presint 2 mulai 22 Ogos hingga 1 September ini akan menghimpunkan lebih 30 pameran taman daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, korporat, swasta, persatuan dan pengusaha bunga serta sekolah dan institusi pengajian tinggi yang bakal mengetengahkan pelbagai kreativiti dan keunikan seni pameran taman.

“Bertemakan ‘Raikan Bersama!’ atau ‘Celebrate Together!’, penganjuran RFP2024 ini amat bertepatan dengan semangat merayakan Bulan Kebangsaan, apatah lagi Putrajaya sekali lagi akan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Zaliha di lokasi Pra Pelancaran RFP2024 di Monumen Alaf Baharu.

“Pada tahun ini, kita pilih bunga petunia sebagai bunga tema. Festival ini akan mempamerkan lebih 700 ribu bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna dan guna yang saya percaya, pasti ada di antaranya tidak pernah kita lihat sebelum ini,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa, berkata demikian di Majlis Pra Pelancaran RFP2024 di Monumen Alaf Baharu, di Putrajaya semalam.

Selain itu, Astaka Flora iaitu pameran bunga-bungaan dalam bangunan yang bertemakan tropical wonders dengan penyertaan 10 buah negara bagi kategori gubahan bunga (flower bouquet) pameran dan pertandingan juga menjadi tarikan utama RFP2024.

“Penganjuran acara besar dan bertaraf antarabangsa seperti itu membuktikan komitmen yang berterusan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan melalui Perbadanan Putrajaya untuk terus membangun dan memajukan Putrajaya sebagai sebuah bandar raya contoh yang mampan dan sejahtera, ceria dan bertenaga serta mampu memenuhi keperluan sosio ekonomi warga dan pengunjungnya,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda