Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Ru’RASA Bantu Golongan B40 Memiliki Rumah Sendiri

By 10 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azree Zaki (Raub)

RAUB, 10 Jul (Malaysiaaktif) –Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di negeri Pahang dapat membantu golongan B40 untuk memilik rumah sendiri.

Menurut salah seorang penerima Nawawi Mat Jamin, 68, beliau bersyukur atas pemberian rumah ini yang merupakan satu projek Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang memberi fokus kepada pemilikan rumah untuk golongan B40 di negeri Pahang.

Sekitar Majlis Pengurniaan Replika Kunci Ru’RASA kepada salah seorang penerima.

“Saya sangat bersyukur dan ingin berterima kasih kepada Tuanku Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang di atas kurniaan Ru’RASA kepada saya dan keluarga.

“Saya juga ingin menzahirkan rasa penghargaan kepada Tok Empat (Ketua Kampung) dan Penghulu Mukim yang telah membantu saya dalam proses mendapatkan Ru’RASA ini,” ujarnya.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billab Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang telah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Gali Tengah, di sini semalam.

Pengurniaan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Gali Tengah ini turut melibatkan seramai 17 orang penerima di beberapa buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong dan DUN Batu Talam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Sri Zulkifli Yacob, Speaker Dewan Negeri Pahang Datuk Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong Fadzli Mohamad Kamal dan ADUN Batu Talam Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

-ZS-

Tinggalkan komen anda