
Laporan/foto: Nor Hidayah Ismail/Janica Jasmine Temaga James (Sarawak)
BINTANGOR 23 Jul (Malaysiaaktif) – Pelbagai acara telah diadakan bersempena dengan sambutan Hari Sarawak 2024 dan di antaranya ialah Sarawak Day Fun Run 2024 yang telah mendapat sambutan yang amat meriah daripada penduduk setempat dan luar Bintangor yang telah berlangsung di perkarangan Dewan Masyarakat Bintangor, di sini semalam.
Aktiviti larian tersesebut telah dianjurkan bagi memperingati perjuangan kebebasan Sarawak daripada British serta sebagai landasan untuk mengukuhkan lagi perpaduan kaum di Sarawak dan di Bintangor khususnya.

Ding (lapan dari kiri) dan Ir. Yusuf Wahab (tujuh dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama jawatankuasa pengelola Larian Hari Sarawak 2024.
Menurut peserta veteran bagi kategori perempuan terbuka Ling Mee Eng, 56, penyertaan dalam larian tersebut adalah untuk aktiviti riadah harian memandangkan beliau sememangnya mempunyai hobi dalam aktiviti larian bersama-sama kelab larian yang disertai.
Di samping itu, larian ini turut disertai dua orang adik-beradik iaitu Joeanne Kong, 14, dan Joyce Kong, 12, yang telah berjaya meraih tempat pertama dan kedua dalam kategori Perempuan Bawah 18 Tahun.
“Tujuan penyertaan kami adalah untuk meraikan sambutan Hari Sarawak bersama-sama rakan sekolah dan juga masyarakat Bintangor,” kata Joeanne.
Sementara itu, Mohamad Sulung Mohammad Tahar, 16, yang telah meraih juara kategori Lelaki Bawah 18 Tahun, berkata beliau gembira dengan penyertaannya dalam larian yang sama untuk tahun kedua.

Peserta larian tidak melepaskan peluang mengambil gambar bersama Ir. Yusuf (enam dari kanan) sebelum memulakan larian.
“Semangat kesukanan yang dikongsi bersama rakan menjadi pembakar semangat untuk kembali menyertai larian hari ini,” katanya ketika ditemui.
Keseluruhannya, penganjuran acara tersebut telah secara tidak langsung telah memupuk semangat kesukanan, muhibah dan harmoni dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, usia, bangsa dan juga agama.
Dianggarkan sekitar 700 peserta menyertai larian tersebut yang terdiri daripada pelajar, belia, kakitangan agensi swasta dan kerajaan serta masyarakat awam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir. Yusuf Abdul Wahab, wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Gung Chiu Kion dan ADUN Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii.
-ZS-