
Laporan/foto: Kasmini Hasbi/Astana Sarawak
KUCHING, 1 Julai (Malaysiaaktif) – Lebih kurang 3000 orang telah menyertai ‘Sarawak Harmony Walk 2024’ bertempat di Padang Merdeka di sini, kelmarin.
Acara yang bertemakan ‘Unity Is Our Calling’ telah berjaya menghimpunkan pelbagai masyarakat berbilang kaum dan agama dalam aktiviti kesihatan selaras dengan objektif penganjuran iaitu keharmonian dalam kepelbagaian agama.

Titik mula Sarawak Harmony Walk 2024 di Padang Merdeka dengan penyertaan lebih kurang 3000 orang
Salah seorang ahli dari Persatuan Tokong Kuching, Esther Chai bekata, acara tersebut merupakan aktiviti yang menarik bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk beramah mesra antara satu sama lain.
“Kita boleh melihat pelbagai bangsa menyertai acara ini dengan perasaan gembira dan raut wajah peserta penuh dengan senyuman membuatkan perjalanan sejauh 2 kilometer ini tidak terasa,” ujarnya.
Menurut salah seorang peserta dari negara Vietnam pula, Sister Mary Hong Que berkata, beliau yang pertama kali menjejakkan kaki di Kuching teruja dengan keharmonian kaum di Sarawak.
“Saya gembira berada di sini dan menyertai acara ini dan semangat peserta mencerminkan semangat harmoni masyarakat di Sarawak yang unik. Saya pasti akan datang lagi ke Kuching,” katanya.
Acara tahunan anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Jabatan Premier Sarawak telah mendapat sambutan yang luar biasa dari tahun sebelumnya.

Ahli dari Persatuan SALWA Sarawak gembira dengan sambutan luar biasa Sarawak Harmony Walk pada tahuh ini
“Kami yang selalu menyertai acara ini agak terkejut dengan kehadiran peserta dan harapan kami agar lebih ramai lagi penyertaan dari persatuan dan pertubuhan keagamaan lain pada masa hadapan demi mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai bangsa dan agama di Sarawak,” jelas ahli dari Persatuan Salwa Sarawak, Dayang Salmah Awang Tarbi.
Sarawak Harmony Walk 2024 merangkumi laluan jalan raya utama bandar raya Kuching sejauh 2.4 kilometer melintasi rumah-rumah ibadat seperti masjid, kuil Tua Pek Kong serta gereja dan berakhir di Padang Merdeka.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
-AA-