Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Semangat ‘Mitatabang’ Kukuh Perpaduan Masyarakat

By 1 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Isnaniwati Ginulis/Redolin Jenibel (Sabah)

KENINGAU, 2 Jul (Malaysiaktif) – Semangat saling menyokong antara kepimpinan di peringkat kampung dan komuniti amat perlu agar perpaduan dalam masyarakat dapat dieratkan.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik, berkata sifat ‘sompori-pori’ atau masing-masing perlu dielakkan sebaiknya meraikan semangat ‘mitatabang’ atau gotong-royong sebagai usaha membangkitkan perpaduan masyarakat.

Penyampaian sijil penghargaan kepada Penolong Pegawai Penguat Kuasa KPDN Octavia Maisi.

Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Robert menyeru agar semua pemimpin peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan juga Ketua Kampung bagi DUN Bingkor memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada Jawatankuasa Komuniti MADANI.

“Kerjasama ini juga memudahkan pemasaran maklumat kerajaan melalui pelbagai agensi seperti Jabatan Penerangan agar ia dapat sampai dengan tepat kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) anjuran Pejabat Penerangan Keningau di Kampung Ritting, Apin-Apin, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Keningau Awang Mamun Awang Saman, berkata Komuniti MADANI juga bertindak sebagai rakan strategik Jabatan Penerangan untuk memasarkan maklumat kenegaraan, perpaduan dan dasar kerajaan.

Sekitar suasana Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi.

“Komuniti MADANI merupakan badan sukarela yang diurus tadbir oleh Jabatan Penerangan bagi memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan untuk merealisasikan aspirasi dan hala tuju negara.

“Penubuhan Komuniti MADANI bukan bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana NGO (pertubuhan bukan politik) di peringkat kampung tetapi bertujuan mewujudkan jaringan komunikasi yang lebih berkesan,” jelasnya ketika menyampaikan Taklimat Tadbir Urus Komuniti MADANI kepada peserta program berkenaan.

Dalam pada itu, peserta program turut mendapat perkongsian maklumat daripada penceramah jemputan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Program tersebut dihadiri 60 orang yang terdiri daripada pemimpin setempat, ahli Komuniti MADANI Kampung Ritting, Pasir Putih, Kampung Merampong dan Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) DUN N.40 Bingkor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda