Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Setiap Warga Malaysia Berperanan Mempromosikan Semangat Perpaduan – Teo

By 18 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak/Jabatan Penerangan

PUTRAJAYA, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching percaya bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan untuk mempromosikan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Saya rasa itu adalah tanggungjawab kita semua untuk mewujudkan sebuah Malaysia Madani, satu masyarakat yang harmoni.

“Biarlah kita menjadi seorang ikon, seorang ejen untuk promote (mempromosi) perpaduan,” katanya.

Menurutnya lagi perpaduan bermaksud rakyat dapat hidup secara harmoni walaupun terdapat beberapa perbezaan.

“Sebenarnya dalam dunia ini perbezaan itu memang ada.

“Ada pelbagai agama, pelbagai kaum, tetapi sebenarnya untuk kaum yang sama juga ada perbezaan, hanya besar atau kecil, itu sahaja,” katanya.

Teo Nie Ching, berkata demikian dalam rancangan ‘Ini Kopi Kita: Sembang Anak Malaysia’ Episod 3 yang disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Facebook dan Youtube terbitan Jabatan Penerangan (JaPen), pagi tadi.

‘Ini Kopi Kita: Sembang Anak Malaysia’ merupakan program bual bicara berkonsep santai berdurasi antara 30 dan 45 minit yang membincangkan topik berkaitan dasar, inisiatif kerajaan MADANI, di samping memupuk semangat patriotik, keharmonian dan integrasi nasional menyasarkan penglibatan generasi muda khususnya pelajar institusi pengajian tinggi.

Sempena pelancaran Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Julai (Ahad) ini di Cyber Event Hall Cyberjaya, Teo turut mengajak warga Malaysia untuk bersama-sama mengibarkan bendera kebanggaan Jalur Gemilang di setiap kediaman dan premis perniagaan.

-RI

Tinggalkan komen anda