
Laporan/foto: Rosli Md Zin/Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini (Bachok)
BACHOK, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Persembahan simulasi perarakan diraja dan pencak silat antara tarikan utama para pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol sempena Program JIWA MADANI@Kelab Malaysiaku, semalam.

Persembahan Pencak Silat Diraja oleh Pesilat Muda SMK Pak Badol
Program yang dijalankan dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Bachok sempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang akan dilangsungkan pada 20 Julai 2024 telah menghimpunkan seramai 70 orang pelajar dari kalangan ahli Kelab Malaysiaku.
Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku, Nur Izzati Che Khalid ketika ditemui berkata, idea simulasi dan pencak silat ini adalah bertujuan menerapkan rasa hormat kepada pemerintahan Sistem Beraja Malaysia dalam kalangan pelajar.
“Simulasi pada hari ini bertujuan mengembalikan semula memori pembelajaran berkenaan Sistem Beraja Malaysia yang dipelajari sejak tingkatan dua di samping memberi gambaran kepada para pelajar mengenai institusi diraja di mana raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Haji Mohd Ramizu Mohd Noor mewakili Pengetua SMK Pak Badol, Zamzuri Awang, turut bersetuju bahawa rasa hormat kepada Sistem Beraja Malaysia patut diterapkan sejak dari bangku sekolah.

Sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada Pengetua SMK Pak Badol
“Setiap pelajar perlu mempelajari dan menghormati Yang di-Pertuan Agong, sultan dan raja-raja dan menjauhi sentimen 3R (raja, agama dan kaum) kerana kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna kebebasan untuk mencerca serta memaki hamun sesuka hati,” ujarnya.
Turut diadakan kempen Kibar Jalur Gemilang, makluman tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta kuiz dan penyampaian hadiah kenegaraan kepada para pelajar.
-AA-