Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sokongan Bapa Pemangkin Semangat Widane Jadi Petani Muda LMS

By 16 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (LMS)

TAIPING, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Berbekalkan semangat dan sokongan keluarga dan rakan-rakan, Muhammad Al-Widdani Mokhtar giat mengusahakan kebun durian milik ayahnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun menyampaikan hadiah kemenangan kepada Widane.

Petani muda berusia 40 tahun ini tidak menyangka durian miliknya dipilih sebagai juara dalam Pertandingan Buah-buahan Durian Kampung sempena Program Pesta Durian dan Hari Ladang Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), di sini kelmarin.

“Saya tidak menyangka durian kawasan Bukit Gantang yang saya usahakan ini cukup bertuah hingga berjaya memenangi hati juri untuk dipilih sebagai pemenang.

“Terima kasih kepada ayah, Haji Mokhtar yang banyak memberi sokongan dan kepercayaan untuk saya mengusahakan kebun durian miliknya sejak empat tahun lalu,” katanya yang mesra dikenali sebagai Widane.

Widane memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Buah-buahan Durian Kampung.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah LMS Zuriana Ahmad, berkata pihaknya menerima banyak penyertaan untuk pertandingan durian kampung terutamanya melibatkan kawasan pengeluar durian dari kawasan Batu Kurau dan Selama.

“Bukan mudah untuk memilih jenis durian yang terbaik dalam kalangan yang berbaik. Namun, Jabatan Pertanian mencadangkan para pemenang agar mematenkan durian masing-masing untuk dikomersialkan,” katanya.

Program yang berlangsung pada 13 dan 14 Julai itu telah menerima kehadiran lebih 5,000 pengunjung bukan sahaja dari Perak malah Kedah dan Pulau Pinang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda