Skip to main content
Berita TengahBerita TempatanSelangor

Status OKU Penguat Semangat untuk Berjaya

By 30 Julai 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

SHAH ALAM, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Kekurangan diri bukan penghalang seorang gadis meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, malah ia dijadikan pembakar semangat untuk berjaya dalam bidang yang dipilih.

Pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Puteri Adriana Batrisyia Mohd Zulkulnain, 18, berkata kekurangan fizikal bukan halangan untuk dirinya berjaya.

Puteri Adriana Batrisyia dan ibunya Wan Hasimazlinda bersama Pengarah PSA Zainah Rujihan serta pengurusan PSA semasa hari pendaftaran pelajar sesi 1 2024/2025.

“Saya memilih program Diploma Pemasaran kerana minat terhadap bidang perniagaan dan pemasaran terutamanya menerusi platfrom e-dagang.

“Saya rasa teruja sangat dapat masuk ke PSA dan disambut dengan mesra,” katanya yang berasal dari Selangor yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal.

Kongsi anak kelahiran Selangor itu, kekurangan diri sejak lahir bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadi pembakar semangat melakar kecemerlangan dalam bidang yang diikuti.

“Pesan saya pada semua dan diri saya sendiri, buatlah yang terbaik walaupun ada kekurangan, yang penting jangan berhenti belajar,” ujarnya.

Ibu Puteri Adriana, Wan Hasimazlinda Wan Mazlan, 41, berkata beliau bersama keluarga memilih politeknik kerana yakin dengan institusi tersebut di samping graduan yang mudah mendapat pekerjaan.

Seramai 1,033 pelajar baharu mendaftar pada hari pertama sesi pendaftaran pelajar dan dijangkakan jumlah tersebut akan meningkat berdasarkan statistik UPU seramai 1,288 setuju menerima tawaran.

“Kami berbincang disebabkan Puteri Adriana juga mendapat tawaran ke Tingkatan Enam, namun kami lebih memilih politeknik,” katanya.

Sementara itu Pengarah PSA Zainah Rujihan memaklumkan seramai 1,033 pelajar baharu mendaftar pada hari pertama sesi pendaftaran dan dijangkakan jumlah tersebut akan meningkat berdasarkan statistik Unit Pusat Universiti (UPU) seramai 1,288 setuju menerima tawaran.

Katanya, peningkatan tersebut mencerminkan politeknik sebagai institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasinal (TVET) semakin menjadi pilihan dan diyakini oleh para pelajar serta ibu bapa.

“Ia merupakan satu lonjakan yang besar selaras dengan hasrat kerajaan.

“Diharapkan para pelajar belajar bersungguh-sungguh, rebut segala peluang dan ruang yang kita sediakan di sini,” jelasnya ketika meninjau proses pendaftaran yang diadakan di Dewan Al Jazari, di sini semalam.

Semua pelajar baharu yang mendaftar di PSA perlu menjalani Minggu Haluan Siswa (MHS) selama seminggu sebelum kelas bermula.

MHS yang berkonsepkan orientasi wajib dijalani para pelajar baharu sebagai proses persediaan dan pendedahan mengenai alam pendidikan, budaya dan aspek pembinaan sahsiah di politeknik.

-ZS-

Tinggalkan komen anda