
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah
KANGAR, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perlis membuka kaunter bergerak bagi perkhidmatan Semakan Pemilih dan Pertukaran Bahagian Pilihan Raya di Ruang Legar Bangunan KWSP, di sini selama tiga hari bermula hari ini.
Menurut pegawai bertugas Roshelmi Hashim, pelaksanaan program ini bertujuan mendekati masyarakat di samping memberikan perkhidmatan yang cepat.

Pegawai SPR di lokasi kaunter bergerak.
“Melalui perkhidmatan kaunter bergerak yang akan diadakan secara berkala ini, SPR Perlis bersikap proaktif dengan tidak menunggu di saat-saat akhir sebelum tiba musim pilihan raya.
“Pihak SPR juga akan turun padang terutama di tempat tumpuan umum seperti di Pasar Raya Besar Giant pada hari cuti pada 27 Julai ini bagi memudahkan masyarakat yang bekerja untuk menggunakan perkhidmatan kami,” katanya.
Menurut Roshelmi, pengundi yang ingin menukar bahagian pilihan raya, perlu hadir ke Pejabat Pendaftaran terdekat terlebih dahulu untuk penukaran alamat di kad pengenalan.
“Masyarakat di negeri Perlis diseru untuk mengambil peluang mengunjungi kaunter bergerak SPR secara terus, sama ada pada tiga hari ini atau pada 27 Julai nanti,” ujarnya.
-ZS-