
Laporan/foto: Mohd Sukri Ismail (Malaysiaaktif)
TUMPAT 28 Jul (Malaysiaaktif) – Penggunaan teknologi dron dalam bidang pertanian khususnya bagi proses penyemburan baja serta racun pada tanaman padi, dilihat mampu mempercepatkan proses serta menjimatkan kos.
Penanaman padi tanpa penggunaan teknologi akan mengambil masa sekurang-kurangnya 100 hari sehingga padi matang dan boleh dituai.

Datuk Zulkifli yang merasmikan program ketika menyampaikan ucapan.
Tanpa penggunaan teknologi dron, tenaga kerja bagi pertanian penanaman padi dilihat semakin merosot dan kurang mendapat tempat dalam kalangan golongan muda.
Wan Fakrul Afifi, pengurus Cawangan DJI Agriculture Kelantan, berkata penggunaan dron dapat membantu meringankan beban petani di mana penggunaan meluas meliputi proses menabur semaian, meracun dan membaja dalam masa yang singkat.
“Untuk menabur semaian, meracun dan membaja, dron boleh melakukan sehingga jarak sejauh dua kilometer dalam masa lapan minit dengan muatan sebanyak 25 kilogram sekali muatan dan juga bergantung kepada saiz tangki sesebuah dron.

Wan Fakhrul memberi taklimat cara-cara penggunaan dron kepada orang ramai.
“Model dron terbaharu dikenali sebagai AGRAS T20 P dilengkapi dengan teknologi canggih, sistem keselamatan yang baik dan boleh mengesan jika terdapat gangguan angin ribut dan mempunyai sistem penjejakan untuk mengelak dan mengenal pasti bangunan dan halangan dengan kamera jelas dan mempunyai keupayaan untuk terbang pada ketinggian 100 kaki,” katanya.
Mengikut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Kutan Samsuddin Zakaria, penggunaan dron juga boleh digunakan sebagai kerja sampingan bagi upah kerja-kerja di sawah padi.
“Sebuah dron mencecah sehingga RM70,000 seunit menyebabkan ramai petani tidak mampu beralih secara sepenuhnya,” katanya selepas Majlis Projek Dron Pertanian Penanaman Padi 2024, di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Kutan, di sini semalam.
-ZS-