
Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)
MUKAH, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Kumpulan Sibu D’Tari, dengan tema tarian ‘Mengarang Seduan’ mewakili Persatuan Melanau Sibu dinobatkan sebagai juara Pertandingan Tarian Tradisioal Melanau dan membawa pulang nilai hadiah sebanyak RM5,000 berserta piala pertandingan.
Pertandingan Tarian Tradisioal Melanau adalah bersempena Pesta Kaul Mukah 2024 bertempat di Tapak Kaul Mukah di sini.

Kumpulan D’Tari Sibu membolot dua hadiah, johan pertandingan dan koreografi terbaik dengan wang tunai berjumlah RM6,000.
Selain itu, kumpulan tersebut turut memenangi koreografi terbaik berserta wang tunai RM1,000 manakala naib johan pula dimenangi oleh Sangar Tari LD mewakili Persatuan Melanau Mukah membawa pulang RM4,000 dan juga hadiah kostum terbaik berserta wang tunai RM1,000. Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Sri Ritma Borneo juga dari Mukah berserta wang tunai RM3,000.
Keseluruhannya, sebanyak empat pasukan mewakili persatuan Melanau dari Miri, Sibu dan Mukah (dua pasukan) yang telah berentap untuk merebut juara berserta wang tunai dan piala dalam pertandingan yang julungkali dikelola oleh Persatuan Melanau Kuching sempena Pesta Kaul Mukah 2024.
Menurut ketua kumpulan merangkap, koreografer, pemuzik, kumpulan D’Tari Sibu Dicky Zulkalnain, 37, kumpulan tersebut diwakili oleh anak-anak muda dari daerah Sibu yang terdiri dari 10 penari, lima pemuzik dan dua krew.
“Mereka telah membuat latihan selama dua minggu untuk memastikan rentak, durasi, mesej dan muzik seragam,” katanya.

Abdul Yakub Arbi (Berdiri tengah) dan kenamaan lain bergambar bersama dengan pemenang Pertandingan Tarian Tradisional Melanau, Pesta Kaul Mukah 2024.
Abang Mohd Iswandi Abang Ibrahim, 38, yang telah berkecimpung lebih kurang 30 tahun dalam bidang tarian menyatakan beliau sangat teruja, berbaloi dan gembira kerana tarian yang pertama kali dibawa oleh kumpulan ini menjadi johan pertandingan.
“Tema tarian ini mengisahkan asal-usul masyarakat Melanau Seduan diterjemah melalui tarian yang dikaji selama lima tahun oleh pakar rujuk Melanau Seduan, Penghulu Sahari Ubu,” katanya.
Kesemua pasukan telah mempamerkan persembahan terbaik dengan masing-masingnya membawa tema dan butir tarian (sinopsis) seperti Sangar Tari LD (Mukah) bertema Pejepin Padou Juai, Sri Melanau Tari (Miri) bertema Apit Tepa Manuok Nyawu @ Tarian Alu-Alu, Sri Ritma (Mukah) bertema Pejepin Gegan Alud dan Sibu D’Tari (Sibu) bertema Mengarang Seduan.
Lebih kurang seramai 2,000 orang telah hadir menyaksikan pertandingan yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Kaul Mukah 2024 Abdul Yakub Arbi, , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Roy Valentine dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Presiden Persatuan Melanau Kuching Faridah Osman.
-ZS-