Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Tiga Jalan Sekitar Putrajaya Ditutup Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2024

By 30 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/JSPT KL (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Tiga jalan di Putrajaya, dekat sini akan ditutup sementara sempena Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara, Laman Putra 4, Presint 1, pada Rabu ini.

Laluan yang terkesan dengan penutupan itu ialah Jalan Persiaran Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah; Jalan Lebuh Perdana Timur dan laluan sekitar Kompleks E.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, pihaknya menempatkan seramai 82 anggota bagi mengawal lalu lintas sepanjang program itu.

“Penutupan jalan secara sementara ini akan bermula pukul 7.30 pagi dan akan dibuka semula secara berperingkat setelah Tetamu Kehormat selamat sampai ke majlis tersebut mengikut masa yang telah ditetapkan.

“Bagi laluan kenderaan di Bulatan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah akan diberhentikan seketika semasa lagu Negaraku berkumandang dan akan dibuka semula selesai acara tembakan meriam dilakukan,” kata Mohd Zamzuri dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menasihati pengguna jalan raya terutamanya petugas-petugas yang akan melalui lokasi penutupan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan hadir awal ke pejabat bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai Polis Trafik Putrajaya 03-8886 2138 atau Hotline JSPT KL 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-ZS-

Tinggalkan komen anda