
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Pusat Khidmat ADUN Hutan Melintang
HUTAN MELINTANG, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Hormatilah wanita sebagaimana anda ingin dihormati.
“Justeru, masyarakat perlu mengubah persepsi dan meletakkan kedudukan wanita sama rata dengan lelaki, bukan hanya sampingan atau kelas kedua,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy, berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hutan Melintang, kelmarin.
“Wanita tidak perlu berasa rendah diri dan membiarkan diri dimanipulasi.
“Sebagai wanita, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kekal bersikap rasional agar terus dapat menyumbang kepada kebahagiaan keluarga,” katanya.
Menurutnya, keganasan yang sering menimpa wanita acap kali dikaitkan dengan pandangan bahawa wanita itu lemah.
“Pandangan negatif ini dapat diubah dengan menggangap kewujudan wanita itu penting terutama dalam institusi kekeluargaan,” katanya.
Tambah Wasanthee, institusi keluarga tidak akan wujud tanpa wanita yang bersifat multitasker kerana peranan mereka penting sebagai rakan kongsi serta membantu menyumbang dalam pengurusan dan ekonomi keluarga.
“Dari sudut pandangan masyarakat juga penting untuk menganggap wanita seperti anak sendiri dan mendidik anak lelaki untuk menghargai wanita.
“Jadi, semua perlu berperanan sebagai pendamai dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan yang harmoni,” ujarnya.
-ZS-