Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Wayang Pacak di Kampung Tarik Minat Penduduk Hayati Istiadat Pertabalan Lebih Dekat

By 22 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Shahvian Mohd Razali (Sabah)

TUARAN, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Kegemilangan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17 dirasai auranya di seluruh negara termasuk rakyat Sabah yang menyaksikan antara lipatan sejarah penting Malaysia ini secara beramai-ramai.

Selain dianjurkan di dewan masyarakat, aktiviti wayang pacak sempena Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI Daerah Tuaran dianjurkan di rumah salah seorang penduduk Kampung Bungalio Kiulu, di sini pada Sabtu.

Nora (kanan) bersama rakannya ketika ditemui pada program JIWA Komuniti Daerah Tuaran.

Dikelilingi suasana perkampungan, aktiviti wayang pacak ini meningkatkan pemahaman dan minat masyarakat untuk mendalami proses perlembagaan Malaysia yang unik di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bagi salah seorang penduduk kampung, Nora Sumping, biarpun sudah berusia 60, inilah kali pertama beliau menyaksikan istiadat pertabalan seorang raja bersama-sama penduduk kampung yang disifatkannya sebagai kenangan yang tidak akan dilupakan.

“Saya berharap dengan pelantikan YDPA Agong yang baru ini, baginda dapat mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini dan semoga di bawah naungan Tuanku, negara kita akan bertambah makmur, harmoni, aman dan stabil.

“Besar harapan kami agar Tuanku sudi datang menjelajah, meninjau serta mendekati rakyat ke seluruh pelusuk negeri ini khususnya di kawasan pedalaman bagi mengenal pasti pembangunan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan.

Farish pelajar SK Bungalio, Kiulu Tuaran.

Tidak hanya warga emas, pelajar Tahun Enam, Mohd Farish Haqimi, 12, antara kanak-kanak yang hadir awal pagi untuk sama-sama menyaksikan istiadat pertabalan melalui wayang pacak yang juga pengalaman baru buat mereka.

“Saya rasa sangat gembira dan seronok bila dapat datang ke sini bagi menyaksikan hari bersejarah ini yang mengumpulkan penduduk kampung dan bersama-sama rakan-rakan saya.

“Di sini saya dapat mengenali Agong yang baharu dan mempelajari istiadat pertabalan melalui tayangan secara langsung pada hari ini,” ujarnya.

Selain aktiviti wayang pacak, program tersebut juga diselangi dengan ceramah berkaitan denggi yang disampaikan Pakar Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran Dr. Mohd Safwan Mohd Noor selain acara bacaan dan doa selamat sejurus selesai majlis istiadat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda