
Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Terdapat 80 spesies lebah kelulut di Malaysia namun hanya kurang daripada 10 spesies yang boleh menghasilkan madu kerana selebihnya berfungsi sebagai ejen pendebungaan.

Sarang madu kelulut terdapat di Wilalong Agro B’Farm dan kini menjadi antara tarikan pengunjung yang datang ke kawasan tersebut.
Pengusaha pusat jagaan lebah kelulut Wilalong Agro B’Farm Zalina Mohamed, 47, berkata beliau dan suaminya, Mastor Wakiran, 65, atau lebih dikenali sebagai Pak Mastor menternak lebah kelulut spesis Heterotrigona Itama atau disebut lebah Itama sejak tahun 2017 dan kini telah mempunyai 100 sarang lebah kelulut.
“Sepanjang mengusahakan ternakan lebah kelulut ini, Jabatan Pertanian juga ada memberikan bantuan menerusi dua geran peruntukan untuk penyediaan papan tanda dan peruntukan naik taraf dua buah tandas untuk pengunjung sebanyak RM30,000.
“Pada awalnya penghasilan madu kelulut ini hanya sebagai hobi namun hasil dorongan daripada suami, saya jadikan tempat sarang lebah ini sebagai tarikan pengunjung diberi nama Wilalong Agro B’Farm”, katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Musliha Yusuf (tudung biru) bersama pengusaha Wilalong Agro B’Farm, Zalina Mohamed (topi koboi).
Pegawai Penerangan Daerah Batu Pahat Musliha Yusof, 49, yang juga pengunjung pusat jagaan lebah, berkata madu biasa dan madu kelulut mempunyai khasiat tersendiri.
“Apa yang menakjubkan ialah ia dihasilkan oleh lebah yang tidak menyengat.
“Madu kelulut juga memiliki satu-satunya bahan yang tidak terdapat pada madu lain iaitu gula Trehalulose iaitu sejenis gula semula jadi yang mempunyai bacaan indeks glisemik (GI) yang rendah,” katanya.
-ZS-