
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Hampir 1,600 peserta pelbagai kaum berjaya menamatkan larian Taman Templer Fun Run 2024 yang diadakan di Setia Eco Templer, di sini semalam.

Antara peserta terawal yang berjaya menamatkan larian sejauh tujuh kilometer di sambut persembahan tarian singa.
Larian yang bermula pukul 7.30 pagi sejauh tujuh kilometer turut disertai golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer Anfaal Saari, berkata larian anjuran pihaknya itu sempena sambutan kemerdekaan negara ke-67 tahun ini.
“Ini adalah suatu kelainan warga Taman Templer, Selayang dan Rawang meraikan sambutan kemerdekaan.
“Berdasarkan sambutan yang diterima, kita akan jadikan acara tahunan,” katanya ketika ditemui.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, berkata sempena program ini pihaknya turut memaparkan laporan 365 Hari Anfaal Saari di DUN Taman Templer.

Anfaal mengalungkan pingat kepada salah seorang peserta yang berjaya menamatkan larian.
“Rakyat boleh lihat kemajuan yang kita lakukan sejak setahun yang lalu.
“Saya bertekad untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan untuk rakyat di Taman Templer ini,” jelasnya.
-ZS-