
Laporan/foto: Amer Rithauddin
KUALA KUBU BHARU, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 20 pasangan pengantin masyarakat Orang Asli Hulu Selangor beragama Islam diraikan dalam satu majlis resepsi ‘Menantumu, Menantuku Jua’ di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu, kelmarin.

Keluarga pasangan mempelai bergambar di Majlis Resepsi ‘Menantumu, Menantuku Jua’ di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu.
Majlis resepsi anjuran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Selangor dengan kerjasama Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dirasmikan oleh Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Mohd Yahya Mat Sahri.
Menurut Pegawai Tadbir Agama Hulu Selangor Khairi Md Zainal, majlis ini diadakan bertujuan untuk membantu pasangan yang mengalami masalah dokumen diri selain memudahkan urusan pendaftaran perkahwinan mengikut hukum syarak.
“Perkahwinan merupakan satu wasilah dalam usaha menjaga agama serta keturunan melalui prinsip Maqasid Syariah dan berharap agar usaha seperti ini dapat diteruskan dan mendapat kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Antara pasangan mempelai yang di raikan di Majlis Resepsi ‘Menantumu, Menantuku Jua’
Majlis yang berlangsung meriah itu turut dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan perkahwinan seperti pelamin, pintu gerbang, bunga manggar dan set makan beradab di samping kehadiran ahli keluarga terdekat setiap pasangan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan silat di hadapan 20 pasangan pengantin yang memakai persalinan serba putih memasuki dewan diiringi dengan alunan selawat memuji junjungan besar Rasulullah SAW.
-ZS-