
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)

Seekor penyu yang telah dipasang peranti pengesan bersatelit dilepaskan sebagai gimik sambutan.
KEMAMAN, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Sempena Program Sambutan Jubli Perak (25 tahun) Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah Kemaman, sebanyak 250 ekor anak penyu yang telah dipasang peranti pengesan bersatelit dilepaskan sebagai gimik sambutan pada kali ini.
Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah Kemaman yang menjangkau 25 tahun usia penubuhannya memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan penyu dan peningkatan kesedaran awam tentang pentingnya menjaga spesies yang terancam ini.
Menurut Pengarah Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat, telur-telur penyu yang ditemui di sepanjang pantai daerah ini dieram dan ditetaskan di Pusat Santuari Penyu Ma’ Daerah Kemaman dan kemudian dibiarkan menetas sebelum anak-anak penyu dilepaskan ke laut.
“Kepentingan pusat ini adalah bagi memastikan kelestarian populasi penyu di negeri ini terus terpelihara.

Antara 250 ekor anak penyu yang dilepaskan ke laut.
“Usaha keras yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk jabatan-jabatan kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat dalam memelihara marin di kawasan ini amat dihargai,” ujarnya, di sini kelmarin.
Salah seorang pengunjung Fadli Muhd Yusof, 54, mengakui teruja dengan pengalaman melihat anak-anak penyu yang dilepaskan ke laut.
“Sebelum ini saya biasa melihat penyu di kaca televisyen, namun ini adalah pengalaman yang cukup mengujakan apabila dapat melihat penyu dengan lebih dekat lagi,” katanya.
-ZS-