Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

ARRES Bantu Sebar Luas Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang

By 26 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman

DUNGUN, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Terengganu DX Radio Amatur, Rekreasi dan Perkhidmatan Kecemasan (ARRES) menyatakan hasrat untuk bersama-sama membantu menyebarluaskan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang yang diketengahkan oleh Kementerian Komunikasi kepada ahli persatuan dan pengendali radio.

Pertubuhan Terengganu DX Radio Amatur, Rekreasi Dan Perkhidmatan Kecemasan (ARRES) menyatakan hasrat untuk menyebarluaskan Iniasiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang kepada ahli persatuan dan pengendali radio amatur.

Setiausaha ARRES Jamalluddin Haidzir ketika ditemui di Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) yang diadakan di Pekarangan Pejabat Penerangan Daerah Dungun di sini kelmarin, berkata kolaborasi bersama Pejabat Penerangan Daerah Dungun juga antara pendekatan dalam memperkenal persatuan tersebut kepada masyarakat di daerah ini.

“Radio amatur adalah perkhidmatan yang digunakan bagi tujuan latihan diri, perhubungan dan ujian teknikal yang dilaksanakan oleh individu yang memegang lesen radio amatur.

“Bagi ARRES, program bersama jabatan kerajaan menjadi satu platform untuk memperkenal dan menerangkan peranan pertubuhan ini daripada segi kaedah bantuan yang diberikan kepada masyarakat terutama ketika menghadapi bencana,” jelasnya ketika menyampaikan taklimat kepada peserta program.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi ARRES Mohammad Azfar Abd. Yazid@ Aziz, berkata pihak radio amatur lazimnya terlibat sebagai sebahagian daripada pasukan sokongan untuk kemahiran komunikasi dan mereka juga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Mohammad Azfar memberi taklimat berkaitan susun atur dan peralatan yang digunakan semasa berada di lapangan.

Salah seorang peserta Shamsudin Jusoh, 67, menzahirkan rasa gembira kerana masyarakat kini mula menyedari akan keberadaan pengendali radio amatur di kawasan masing-masing.

“Radio amatur juga menjadi medium komunikasi penting yang digunakan apabila berlakunya sesuatu bencana besar seperti banjir.

“Dahulu masyarakat melihat radio amatur sebagai hobi dalam kelompok tertentu namun dengan adanya peralatan dan teknologi terkini, fungsi radio amatur boleh diketengahkan kepada golongan pelajar dan belia.

“Mulai Januari 2023 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenal kelas baharu bagi pengendali radio amatur iaitu Kelas C (9W3) berbanding sebelum ini Kelas B (9W2) dan Kelas A (9M2).

“Had kelayakan umur minimum bagi memiliki lesen radio amatur juga telah diturunkan kepada 15 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini,” jelasnya.

Turut hadir Pengerusi ARRES Aziz Jaafar dan wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) merangkap setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda