
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Mohd Fahmi Tajuid
TELUK INTAN, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Cita-citanya hanya untuk memenangi pingat emas.
Demikian perkongsian Mohd Fahmi Tajuid, 55, mengenai anaknya, jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi, 20, atau lebih dikenali sebagai Azeem Fahmi.
Menurutnya, disebabkan impian itulah Azeem mendedikasikan hidupnya dalam sukan olahraga demi negara yang tercinta.

Azeem Fahmi ketika memenangi pingat perak di Sukan Asia Antara Universiti pada awal Julai lalu.
“Cita-cita anak keempat dari lima beradik ini sejak kanak-kanak hanya mahu mewakili negara dan Azeem menjadikan bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Mohamad sebagai idolanya yang bukan sahaja berjaya dalam sukan olahraga malah bidang akademik.
“Saya dan isteri, Norazah Ibrahim mula mengesan bakat Azeem ketika dia masih bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Teluk Intan yang mana ketika berumur 8 tahun, Azeem dilihat berpotensi dalam sukan olahraga dan mampu bersaing dengan kanak-kanak yang lebih berusia daripadanya,” katanya di sini kelmarin.
Katanya, Azeem mula mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat daerah dan negeri sehingga melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh.
“Bakat Azeem terus digilap oleh barisan jurulatih sebelum meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Auburn, Amerika dalam bidang Exercise Physiology and Kinesiology.

Azeem Fahmi (dua dari kanan) bersama jurulatih Ken Harnden (kanan sekali) semasa di Universiti Auburn, Amerika.
“Azeem pernah menyuarakan kepada kami bahawa sebelum usianya mencecah 20 tahun, matlamatnya adalah untuk memecahkan rekod kebangsaan dan bertanding di Sukan Olimpik,” katanya.
Menurut ayahnya lagi, pada usia 18 tahun, Azeem berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 tahun di Cali, Colombia pada 2022 dan kini terpilih mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebagai bapa, Mohd Fahmi amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan membantu Azeem dalam merealisasikan cita-cita terutama jurulatih peribadi, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah dan Ken Harnden.
“Saya percaya dengan umur yang masih muda dan perjalanan yang masih panjang akan membentuk Azeem menjadi permata sukan kepada negara dan harapan saya agar Azeem kekal fokus melakukan yang terbaik dalam bidang sukan yang diwakilinya dan nikmati apa yang sedang dilakukan tanpa memaksa diri.
“Sentiasa bersikap merendah diri tetapi kekal dengan sikap percayakan diri dan yakinlah bahawa proses latihan yang dijalani dengan kaedah yang betul akan membantu Azeem mencapai impiannya,” ujarnya mengakhiri perbualan.
-ZS-