
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Muhammad Syaizal Haziq (Pejabat Agama Islam Daerah)
TELUK INTAN, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat daerah Hilir Perak tahun ini menjadi milik bekas johan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Perak anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) pada 2022.
Sa’odah Mohamed, 57, menerima hadiah wang tunai, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Orang Besar Jajahan (OBJ) Hilir Perak Datuk Meor Redwan Mahayudin di Milla Hall, di sini kelmarin.

Datuk Ahmad Sobri (berbaju hijau) bergambar kenangan dengan kakitangan MOCCIS Berhad yang hadir.
Sa’odah juga merupakan seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) telah berkhidmat di beberapa buah Sekolah Rendah Agama Rakyat di daerah ini sepanjang tempoh 32 tahun sejak 1992.
Selain meraih kejayaan sebagai johan, beliau pernah menjadi pemenang naib johan bagi Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri selama tiga tahun berturut-turut bermula 2011 hingga 2013.
Menurut Sa’odah, kejayaan beliau merupakan hasil galakan yang tidak pernah putus daripada suami, keluarga, rakan sekerja, sahabat handai dan semua pelajar di bawah didikannya.
“Saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas pemilihan saya sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat daerah tahun ini.

Mohammad Sallehudin (berbaju hitam), penerima Tokoh Sukarelawan Islam merupakan sukarelawan anak muda yang menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma.
Terima kasih kepada kedua ibu bapa yang telah mendidik saya. Tidak lupa buat suami, keluarga dan semua yang sentiasa mendoakan kejayaan saya,” ujarnya ketika ditemu bual.
Tambah Sa’odah, seiring dengan perkembangan dunia digital serba moden, peranan guru dalam membangunkan syiar Islam amat penting dengan mencurahkan ilmu dengan ikhlas, sentiasa menuntut ilmu tanpa jemu dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Selain Sa’odah, pada majlis tersebut, Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) Datuk Ahmad Sobri Wan Teh turut dipilih sebagai Tokoh Abdul Rahman bin Auf dan Pengerusi Pertubuhan Amal Ikhsan Teluk Intan Mohammad Sallehudin Mohd Arifin pula menerima Anugerah Tokoh Sukarelawan Islam.
-ZS-